Monday 31 October 2011

Perjumpaan IbuBapa Murid-Murid Tahun 6 bagi Sembahyang Hajat Untuk Penilaian Sekolah Rendah 2011 & Menandatangani Rekod Kemajuan Pelajar


Ibubapa Serta Murid-Murid Tahun 6 mendengar taklimat PSR 2011

Hari Khamis. 07 Zulkaedah 1432H/ 06 Oktober 2011M. Bagi memberi penerangan tentang Penilaian Sekolah Rendah 2011 kepada ibubapa dan murid-murid Tahun 6, satu sesi taklimat telah diadakan di Bilik Taklimat SRKM. Antara tujuan taklimat ini diadakan ialah memberi penjelasan tentang subjek serta format peperiksaan PSR 2011. Selain itu, memberi peluang kepada ibubapa mengikuti perkembangan anak-anak mereka dalam peperiksaan Penilaian PSR 1 dan 2 serta memberikan tips dan cadangan cara pembelajaran menjelang PSR.

Setelah sesi taklimat diadakan selesai, ibubapa menandatangani rekod kemajuan murid serta bertanya tentang perkembangan pembelajaran anak-anak mereka. Untuk memberkati dan memohon kepada Allah Subhanahu Wa'Taala agar murid-murid Tahun 6 dipermudahkan menjawab soalan-soalan PSR, dan mendapat kejayaan, solat sunat Hajat dan bacaan Surah Yasin terus diadakan di Bilik Ibadat SRKM.

Antara yang hadir pada hari tersebut ialah Pengerusi PIBG Sekolah, Yang Mulia Awang Miludin Bin Matussin.

Aktiviti-Aktiviti Sekolah Sebelum Cuti Persekolahan Penggal ke-II

Murid-Murid Tahun 2 & 3 mengadakan demonstrasi cara membuat salad
Aktiviti MulTi-Race

Penyampaian Hadiah Bagi Pemenang-Pemenang MulTi-Race

Hari Isnin, 04 Rejab 1432H/ 06 Jun 2011M. Seperti biasa sebelum menjelangnya cuti penggal persekolahan, Sekolah Rendah Kampong Menengah, Tutong akan mengadakan aktiviti-aktiviti bagi murid-murid. Kali ini, Aktiviti 2-in-1: MulTi-Race dan Sekolah Mempromosikan Kesihatan(SMK) telah diadakan.

MulTi-Race adalah salah satu aktiviti bagi program School Leadership Program(SLP). Antara objektif MulTi-Race ialah meningkatkan kemahiran memahami konsep dan menghafal sifir melalui aktiviti yang mencabar serta menyeronokkan.

Selesai sahaja aktiviti MulTi-Race, murid-murid berkumpul di lobi blok pentadbiran sekolah bagi menyaksikan demonstrasi membuat salad buah oleh murid-murid Tahun 2 dan 3. Ini adalah salah satu aktiviti bagi Program Mempromosikan Kesihatan. Sesudah berakhir demonstrasi tersebut, murid-murid yang lain serta guru-guru menikmati salad buah yang telah siap.

Sebelum mengakhiri aktiviti hari tersebut, para pemenang MulTi-Race menerima hadiah daripada Guru Besar Sekolah Rendah Kampong Menengah, Cikgu Haji Zainuddin Bin Haji Abu Bakar, mengikut kumpulan.

Pertandingan Koir Anti Dadah Peringkat Negara

Hari Isnin, 27 Syawal 1432H/26 September 2011. Sekolah ini telah terpilih ke peringkat akhir bagi Pertandingan Koir Anti Dadah Peringkat Kebangsaan anjuran Unit Bimbingan Kuanseling. Pertandingan itu telah diadakan di Dewan Raya Radio Television Brunei, Bandar Seri Begawan. Lagu yang dibawakan adalah mengikut tema 'Tidak Pada Dadah'. Lirik lagu adalah ciptaan Cikgu Mirady Floridzan Bin Abdul Rahman manakala lagunya dicipta oleh Cikgu Lisa Suryani Bte Salam.

Walaupun tidak berjaya merangkul gelaran juara, sekolah ini sangat gembira kerana berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir dan menjadi wakil bagi sekolah-sekolah Daerah Tutong dengan membawa pulang hadiah saguhati.